PAU 2022 Simbolik Kebangkitan, Persediaan Depani PRN – SUA

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 ini memberikan signifikannya yang tersendiri buat parti.

Katanya ini kerana sebagai persediaan buat parti dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dilaksanakan di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang kelak.

“Jadi apa yang kita lakukan pada PAU ini di kala kita kalah namun mempunyai peranan yang amat besar bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Sedikit sebanyak semangat yang ada itu kita kekalkan untuk muhasabah diri bagi melaksanakan ‘the way forward’ atau jalan ke hadapan yang tertentu bagi memastikan kita berjaya dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau raptai PAU 2022 yang diadakan di Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini yang turut dihadiri Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, pagi tadi.


Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan menambah, UMNO/Barisan Nasional (BN) berpotensi memenangi kerusi yang bakal ditandingi sekiranya gerak kerja bersepadu dijalankan dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti.

“Pada PRN ini kita boleh memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam enam negeri tersebut.

“Jadi ini adalah satu lagi tumpuan dalam PAU 2022, itu sebab kita perlu berpadu supaya UMNO boleh menghadapi enam PRN itu dengan jayanya,” ujar beliau.

Terdahulu Ahmad memaklumkan penganjuran PAU kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua-ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri selaku pemerhati khas.

Ianya juga menyaksikan Taklimat Presiden yang diadakan kembali pada PAU 2022, bakal menambahkan lagi kemeriahan dan semangat dalam kalangan perwakilan yang hadir. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.