Adakah Jawatan Presiden Mereka Dipertandingkan? Soal Isham Jalil

SHAH ALAM, 7 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil membidas parti lain yang cuba mempersoalkan tentang pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Tegasnya, sewajarnya pihak tersebut tidak perlu dibiarkan campur tangan dengan pemilihan UMNO ini malah jawatan tertinggi parti mereka juga tidak dipertandingkan.

“Saya melihat jawatan tertinggi PPBM tidak ada dipertandingkan malah Pas dan Pejuang pun tidak ditandingkan… Orang yang sibuk tanya ini jawatan Presiden mereka pun tidak dipertandingkan. Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah buat kenyataan jawatan ini terpulang kepada perwakilan UMNO dan tidak ada rancangan untuk pinda perlembagaan parti ini.

“Ini adalah propaganda pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menaikkan kemarahan rakyat terhadap Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Dalam Perlembagaan UMNO ada menyatakan sesiapa yang ingin bertanding diperbolehkan. Kalau ada kemungkinan tidak ada sesiapa yang hendak bertanding maka Presiden dan Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding.

“Itu adalah senario yang boleh difikirkan kerana sekiranya ada pertandingan dan ada pihak luar yang ingin menaja calon mereka untuk menjatuhkan kerajaan malah sememangnya mereka ada kepentingan untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO kerana mahu menukarkan kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas Majlis Apresiasi Jentera dan Jelajah Bina Semula UMNO bersama akar umbi UMNO Bahagian Shah Alam, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari serta kepimpinan UMNO Bahagian.

Tambah Isham lagi, persoalannya kenapa mereka hendak menukar kerajaan dan adakah sebab tidak mampu lagi menjadi pembangkang.

“…dan baru-baru ini terdapat kes-kes mereka terbongkar dan pihak tersebut merasa cukup takut.

“Dengan ketakutan ini memberi tekanan pada mereka untuk menukar kerajaan yang sedia ada dan untuk lari dari kes mahkamah dengan cara menukar kepimpinan tertinggi UMNO,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Isham hairan melihat tindakan PPBM dan Pas yang kononnya merasa pelik apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Ini bukannya pelik sebab dulu pun UMNO/BN pernah berkerjasama dengan PPBM dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pada kali ini dengan PH.

“Tapi yang paling pelik kenapa ‘orang’ yang memberikan pertanyaan itu padahal mereka (PPBM/Pas) pernah berkerjasama dengan Dap, macam mana ceritanya? Adakah mereka boleh berkerjasama sedangkan UMNO/BN tidak boleh? Kenapa ‘double standard’?,” bidasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.