UMNO, BN Sabah Tarik Sokongan Kepada Hajiji Sebagai Ketua Menteri – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 6 Jan – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah malam ini mengumumkan menarik sokongan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN negeri berkata pendirian yang diputuskan dalam mesyuarat parti di sini malam ini, dibuat kerana hilang kepercayaan kepada kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, bagaimanapun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

“Hajiji juga telah mengugut kita dengan rombakan kabinet tanpa berbincang. Kami juga hilang kepercayaan selepas Hajiji kehilangan locus standi, kelayakan untuk dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, ketua menteri harus dipilih daripada sebuah parti yang (ada sokongan) majoriti. Dia (Hajiji) tidak berparti, dia bernaung di bawah GRS ini adalah ‘grand coalition’ parti,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Sabah di Karamunsing di sini, malam ini.

Bung Moktar berkata perjanjian antara BN dan PN membentuk kerajaan negeri turut menyebut adanya pelantikan ahli jemaah menteri, serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada UMNO atau BN.

“Hari ini Hajiji, selain mengumumkan (untuk melakukan) rombakan kabinet tanpa perbincangan, telah memecat Datuk Seri Salleh Said Keruak (Ahli Dewan Undangan Negeri BN Usukan) sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, tanpa berunding dengan Pengerusi BN Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar akan menyembah maklum kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, untuk melaksanakan fungsi selaku ketua negeri dengan menyemak kembali pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Ditanya adakah keputusan itu mendapat sokongan semua ADUN BN Sabah, beliau mengakui ada lima daripada 18 ADUN parti itu tidak menyokong keputusan tersebut, tanpa menyatakan nama ADUN yang terlibat.

“Kita bertindak atas nama parti, walaupun ada ADUN tidak menyokong tetapi pada saya itu tidak mengapa, kerana keputusan parti adalah muktamad dan kita akan mengambil apa juga langkah tegas termasuk tindakan disiplin kepada ADUN khianat, yang tidak menyokong keputusan parti,” katanya.

Bung Moktar berkata beliau juga akan memaklumkan keputusan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

Mengulas soalan perancangan parti itu di Sabah selepas ini termasuk kemungkinan berkerjasama dengan Parti Warisan, beliau tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.

“Kita boleh bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan mereka ikhlas,” katanya yang juga tidak menolak kemungkinan untuk terlibat dengan peralihan kerajaan negeri, namun semua itu bergantung kepada ketetapan Yang Dipertua Negeri.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Dengan tindakan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam ini, Kerajaan Sabah diterajui Hajiji kini mempunyai sokongan 41 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3) dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Warisan mempunyai 19 kerusi manakala PAS satu kerusi. – BERNAMA