Semoga Ahli Dan Penyokong UMNO Terus Fokus, Bangkit Lebih Gagah

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berharap agar seluruh ahli dan penyokong UMNO yang setia kepada perjuangan parti terus kuat semangat dan kekal fokus sepenuh usaha untuk bangkit kembali dengan lebih gagah dalam era UMNO Arau baharu nanti.

Susulan daripada keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang memutuskan untuk menggantung UMNO Bahagian Arau, beliau beranggapan keputusan tersebut amat bertepatan dan strategik.

“Pada malam tadi, mesyuarat MT (Majlis Kerja Tertinggi-MKT) UMNO telah memutuskan untuk menggantung UMNO Bahagian Arau. Ini bermakna UMNO Arau tidak boleh menghantar perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal diadakan pada minggu hadapan dan keseluruhan ahli-ahli jawatankuasa bahagian serta cawangan tergugur jawatan mereka secara automatik.

“Sebagai pendukung setia UMNO di Arau, saya berpendapat keputusan ini amat bertepatan dan cukup strategik setelah mengambil kira beberapa perkembangan semasa yang berlaku di Arau,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, terdapat maklumat diterima bahawa mantan Ketua UMNO Bahagian tersebut masih mahu mengawal organisasi tersebut meskipun telah meninggalkan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

“Terdapat maklumat yang diterima bahawa mantan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu beberapa individu bahawa ‘UMNO Arau saya control’ walaupun telah meninggalkan parti sebelum PRU ke-15 lalu. Umum mengetahui sikap warlord beliau yang ingin mengawal semua gelanggang supaya dapat menyusun atur segalanya mengikut kehendak dan kepentingan diri.

“Kedua, kepimpinan bahagian yang diterajui oleh Pemangku Ketua Bahagian telah gagal mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian sebaik sahaja ketua bahagian meninggalkan parti sehingga semalam. Tidak juga ada usaha untuk mengadakan perbincangan dan post-mortem berhubung kekalahan calon-calon daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) di Parlimen Arau.

“Terdapat gerakan tertentu oleh beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan sayap bahagian serta cawangan yang terang-terangan mengkhianati UMNO pada PRU ke-15 lalu untuk menghadiri PAU. Kumpulan ini dilaporkan bersiap sedia untuk membuat beberapa perlakuan sabotaj sebagaimana disuruh oleh warlord mereka,” katanya lagi.

Syed Atif turut berharap agar UMNO Arau dapat dibina semula dengan kekuatan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat setempat dan dapat membezakan diantara perjuangan individu serta parti.

“Saya mendoakan dengan penuh harapan agar seluruh ahli dan penyokong UMNO yang setia kepada perjuangan parti ini agar terus kuat semangat serta kekal fokus menumpukan sepenuh usaha untuk bangkit kembali dengan lebih gagah dalam era UMNO Arau baharu nanti.

“Semoga UMNO Arau dapat dibina semula dengan kekuatan, kesetiaan dan pendekatan baharu yang lebih ampuh dan relevan untuk terus menabur khidmat bakti kepada masyarakat setempat.

“Semoga di kemudian hari nanti kalian dapat memahami dan membezakan antara perjuangan individu serta parti UMNO yang sekian lama berusaha memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tercinta ini,” katanya lagi.

Pada 7 November UMNO Online melaporkan Mantan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim digugurkan keahlian UMNO selepas didapati mencalonkan diri bertanding mewakili parti lawan pada PRU ke-15 lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.