Semangat Terus Membara Demi Kebangkitan UMNO – Rais

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin berikrar untuk terus setia dan istiqamah dalam membawa perjuangan UMNO.

Beliau pada masa sama berharap Tahun Baharu 2023 ini membawa signifikan terbaharu kepada parti terutama kebangkitan selepas melalui pelbagai cabaran.

“Walau dipukul ombak dan dilanda badai, namun sebagai ahli parti yang menjunjung perjuangan agama, bangsa dan negara kesetiaan saya kepada parti tidak pernah luntur.

“Semangat ini terus membara demi melihat UMNO kembali bangkit. Jatuh bangunku hanya demi menegakkan agamaku, bangsaku dan tanah airku.

“Semoga tahun ini memberikan sinar harapan baharu buat parti keramat UMNO. Yakinlah, di sebalik ujian pasti tersirat seribu hikmah. Kita hanya perlu bersabar dan istiqamah meniti perjuangan yang diniatkan hanya kerana-Nya.” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu pada masa sama memaklumkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi semalam turut membincangkan kaedah terbaik dalam memperkasa parti selepas menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Malam semalam berlangsungnya Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang pertama bagi tahun 2023 di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi.

“Antara agenda utama yang dibincangkan adalah persiapan parti menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 minggu hadapan. Segala atur cara disusun rapi kerana sudah pasti PAU 2022 bakal menjadi tumpuan akar umbi dan seluruh rakyat Malaysia.

“Mesyuarat juga menumpukan kepada perancangan strategi bagi memperkasakan parti setelah diuji ujian kekalahan pasca PRU15. Pastinya sinergi antara kepimpinan atasan dan akar umbi amat diperlukan bagi memastikan UMNO kekal relevan dalam arena politik negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.