PAU 2022: Terima Apa Sahaja Usul, Bukti Keterbukaan Presiden – Ramlan

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani menyambut baik kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi yang menerima apa sahaja usul pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berlangsung Rabu depan.

Katanya, keterbukaan Presiden ini suatu langkah terbaik bagi memperkasa parti dalam berterusan membawa perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Pada saya bagus melihat keterbukaan Presiden sebegitu apa juga usul sama pertandingan presiden atau tidak, sama ada apa sahaja usul yang dibawa itu pada saya akan diputuskan pada PAU sebab ianya melibatkan ketua-ketua bahagian dan perwakilan seluruh Malaysia.

“Keterbukaan ini bagus saya kira kerana sekurang-kurangnya usul apa sahaja yang hendak di bawa di peringkat akar umbi akan dibawa oleh pembahas,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid memaklumkan parti akan menerima apa sahaja usul untuk dibawa ke Perhimpunan Agung yang akan datang selagi mana ia dapat memperkukuhkan parti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata ini memandangkan keutamaan parti ketika ini adalah bagi merapatkan saf dalam kalangan pemimpin dan parti setelah mengharungi cabaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Begitu juga, Ahmad Zahid berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.– UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.