MT Putuskan UMNO Bahagian Arau Digantung Atas Sebab Disiplin

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi menggantung UMNO Bahagian Arau selepas melanggar perlembagaan parti, kata Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.

Beliau berkata MT UMNO akan melantik ketua pentadbir bagi bahagian itu secepat mungkin.

“Kita akan lantik ketua pentadbir secepat mungkin. Senarai calon itu akan dibincangkan…keputusan Majlis Tertinggi adalah menggantung mereka atas sebab-sebab disiplin melanggar Perlembagaan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MT UMNO bagi bulan Januari yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Arau sebelum ini Datuk Seri Shahidan Kassim dan isterinya yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian itu Datin Seri Shamsiah Yassin dilucutkan keahlian UMNO selepas melanggar perlembagaan parti.

Dalam pada itu, beliau berkata penggantungan keahlian bekas ahli MT UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini selepas rayuannya ditolak.

“Ada rayuan daripada Datuk Tajuddin…hari itu dia digantung jadi rayuan dia telah ditolak. Penggantungan berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Pada 2 Okt tahun lepas, media melaporkan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Mohd Yusof Ismail mengesahkan beliau serta bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin digantung keahlian parti selama enam tahun.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi akaun Twitternya berkata perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat MT malam ini adalah berhubung perincian jadual Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada 11 hingga 14 Jan ini.

Beliau berkata taklimat Presiden akan diadakan pada 2.30 petang, 11 Jan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.