Agenda Utama Mesyuarat MKT Fokus Perjalanan PAU 2022 – SUA

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam tertumpu kepada pelaksanaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Sambil melampirkan jadual-jadual perjalanan PAU, beliau turut memaklumkan Taklimat Presiden juga akan diadakan pada Rabu.

“Mesyuarat MKT UMNO malam tadi dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Perkara utama ialah perincian jadual PAU 2022 pada 11 hingga 14 Januari ini.

“Taklimat Presiden akan diadakan pada Rabu 11 Januari jam 2.30 petang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia,” katanya menerusi ciapan di Twitter selepas mesyuarat MKT.

Terdahulu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan memaklumkan PAU 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Januari ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.

Katanya ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.