UMNO Perlu Buang Stigma Parti Rasuah Untuk Bangkit Semula – Isham

KUALA LUMPUR, 5 Jan – UMNO perlu berusaha membetulkan stigma masyarakat terhadap parti itu yang sering didakwa mengamalkan rasuah sekiranya mahu bangkit semula selepas berdepan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil berkata sepanjang 60 tahun menjadi parti dominan, UMNO sering menjadi sasaran diserang dengan isu rasuah sehingga ideologi itu berjaya ditanam dalam fikiran orang ramai.

“Orang kita tak kira dia ideologi apa dia tetap tidak suka rasuah, dia sukakan parti yang bersih. Jadi untuk bergerak ke hadapan, kita kena selesaikan dulu perkara ini kerana selagi tidak diselesaikan, stigma yang kata UMNO ni parti rasuah tak boleh dibuang,” katanya pada majlis ramah mesra Ketua Penerangan UMNO bersama media di sini hari ini.

Beliau juga berkata sebagai usaha membersihkan Malaysia daripada perbuatan rasuah, ‘orang baik’ perlu melibatkan diri dalam politik.

Katanya ini kerana jika dunia politik terus dipenuhi ‘orang jahat,’ Malaysia bakal berdepan pelbagai masalah kerana dasar negara akan ditentukan sendiri oleh individu yang mengamalkan perbuatan terkutuk itu.

Selain itu, Isham berkata UMNO tidak akan sesekali meminda perlembagaannya bagi membolehkan dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti.

Beliau berkata parti tidak pernah membangkitkan perkara itu dan mendakwa ia dibawa oleh pihak tertentu dengan niat memecahbelahkan UMNO.

Mengulas mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 minggu depan, Isham berkata pelbagai perkara berbangkit akan dibincang termasuk isu kekalahan pada PRU15, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan pemilihan parti.

“Kita akan bincang mengenai pemilihan UMNO kerana dalam waktu kritikal ini, keadaan ekonomi tidak elok, kita berdepan risiko kerajaan bertukar lagi dan sekiranya UMNO tak stabil, banyak perkara akan terjadi.

“Jika tumbang kerajaan, berlaku lagi ketidakstabilan politik maka pelabur tak akan masuk. Apa akan jadi pada negara kita, jadi sebab itu saya kata pemilihan UMNO ini bukan hanya memberi kesan kepada UMNO sahaja sebaliknya seluruh negara terkesan dan menentukan apa akan jadi pada negara ini,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2022, yang sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Dis 2022, telah ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan 2023. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.