Pemilihan UMNO Dibangkitkan Pihak Luar Untuk Keruhkan Suasana – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menegaskan tidak timbul soal pindaan perlembagaan bagi membolehkan jawatan tertinggi di dalam parti tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO kali ini dan beliau melihat ia hanyalah dibangkitkan oleh mereka yang mahu mengeruhkan suasana di dalan parti tersebut.

Jelas beliau perkara itu yang berlegar hari ini berkemungkinan dibawa oleh mereka yang bukan dari kalangan parti atau mereka yang berada di dalam UMNO namun pada masa yang sama menyokong Perikatan Nasional.

“Tidak ada apa-apa perancangan untuk pinda perlembagaan bagi membolehkan kedua-dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan. Sebab itu semalam di Negeri Sembilan dan sebelum itu di Kedah dan Pulau Pinang apabila ada persoalan ini ditimbulkan… saya katakan perkara ini mungkin dibawa oleh orang bukan dalam UMNO atau puak-puak dalam UMNO yang menyokong Perikatan Nasional.

“Sebabnya kita tidak bawa isu ini… tetapi  isu ini dibawa untuk mengeruhkan keadaan di bawah sebab UMNO ini parti akar umbi dan mereka tahu kalau kita buat begitu akar umbi akan marah. Apa pun UMNO ini parti demokratik.

“Saya rasa paling demokratik… apa pun orang kata tentang UMNO hari ini… tidak ada parti lain yang mana jawatan presiden dipertandingkan. 2018 jawatan tersebut dipertandingkan. Pas tidak ada pertandingan dan begitu juga parti lain. Sebab itu saya katakan tidak ada apa-apa perancangan untuk pinda perlembagaan dan saya dah buat kenyataan dua kali tentang perkara ini dan Setiausaha Agung pun dah buat kenyataan soal ini,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama warga media massa di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau turut memahami beberapa pandangan yang dilontarkan oleh pimpinan di bawah berkaitan pemilihan di dalam UMNO kali ini.

“Ada juga kenyataan dibawah yang menyatakan dan  mencadangkan jawatan berkenaan tidak dipertandingkan seperti kenyataan Datuk Nur Jazlan. Saya faham kenapa beliau katakan begitu… sebabnya ada interested parti daripada luar yang mahu menghuru-harakan UMNO. Kita baru sahaja lepas pilihan raya. Lepas itu kita masuk dalam kerajaan unity baharu dan ada pula parti-parti lain yang mungkin nak tukar kerajaan.

“Sebab itu walaupun ada kritikan-kritikan pada Datuk Nur Jazlan saya rasa saya boleh nampak point of view dia… Kita tahu UMNO ini macam mana dan tahu ada orang yang mahu menghuru-harakan UMNO dan sepertimana kita tahu dalam PRU yang lepas mereka telah pakai duit untuk menang pilihan raya.

“Jadi kalau mereka pakai duit untuk menang pilihan raya, takkanlah pada kali ini merekatidak boleh pakai duit untuk kacau pemilihan kita…dan kita boleh buat andaian-andaian begitu. Masalahnya kita tidak mahu perkara seumpama itu berlaku. Jadi sebab itu cadangan saya adalah kita kawal politik wang. Jangan ada unsur-unsur daripada luar kacau pemilihan kita,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.