Langkah Praktis Meliputi Pelbagai Dimensi Dan Perspektif Transformasi KKDW – Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan pertemuan beliau dengan kakitangan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi di Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, sebentar tadi.

Beliau yang Menteri KKWD pada amanat tersebut meluahkan keyakinan kepada semua kakitangan semua bersemangat untuk bersama beliau dan pengurusan dalam mendepani tahun baharu ini.

“Setiap kementerian mempunyai garis panduan dasar dan tradisi mekanisme sistem penyampaian kepada rakyat dan pihak awam jadi bagi memastikan proses pembaharuan (renewal) maka akan dilakukan beberapa penambahbaikan dan modifikasi di agensi-agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Luar Bandar.

“Pengislahan ini penting bagi memastikan setiap program dan pelaksanaan benar-benar memberikan impak kepada masyarakat dan negara.

“Keberkesanan perbelanjaan Kementerian bukan hanya diukur daripada jumlah dibelanjakan, akan tetapi impak pencapaian itulah yang paling penting dan diutamakan.

“Beberapa langkah praktis atau hands on untuk melihat pelbagai dimensi dan perspektif untuk memastikan transformasi berlangsung dengan jayanya di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya menerusi perkongsian di hantaran Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata aspek koordinasi kalangan agensi yang terdapat di KKDW dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan dilakukan terutamanya dalam konteks tertentu seperti memperbaiki bukan hanya infrastruktur yang rosak malah turut membantu rumah-rumah yang terlibat dalam bencana.

Tambah beliau lebih daripada itu perancangan masa depan yang lebih strategik untuk melakukan mitigasi terhadap permasalahan yang berlaku setiap kali ada monsun timur laut atau barat lain.

“Di sinilah Kementerian semakin bertambah relevan untuk rakyat dan negara. Pada masa yang sama juga perlu ditegaskan bahawa kerajaan negeri juga harus mengambil pertanggungjawaban untuk membantu rakyat kerana telah mendapat kejayaan 100 peratus kerusi parlimen di negeri tersebut.

“Maka mereka harus menterjemahkan sokongan rakyat terhadap mereka dengan memberikan bantuan sepenuhnya sesuai dengan sokongan yang diberikan agar dapat dibuktikan janji kempen Pilihan Raya Umum mereka lalu tersebut bukanlah suatu retorik politik semata-mata dan hanya memainkan sentimen etnik dan agama,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.