Isu Pencabulan, Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak Perlu Tindakan Lebih Tegas – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Wanita UMNO Malaysia mendesak supaya pegawai polis yang didakwa merogol gadis bawah umur untuk dikenakan tindakan undang-undang dengan segera.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ini adalah kes berat apatah lagi ia melibatkan mangsa bawah umur selain merosakkan nama baik pasukan polis secara keseluruhannya.

“Negara telah digemparkan dengan kes seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang dilaporkan merogol mangsa. Tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali apatah lagi beliau sebagai seorang pegawai polis seharusnya menjadi pelindung kepada masyarakat dan bukan sebaliknya.

“Kita khuatir nama baik polis boleh tercemar walaupun selama ini keseluruhan pasukan polis telah melaksanakan tugas mereka dengan baik hinggakan kita semua dapat menikmati suasana aman dan harmoni,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau berkata kes ini hanya sebahagian daripada kes kekerasaan dan penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak malah jika dilihat data serta statistiknya, kes-kes penderaan dan seksual seperti ini adalah semakin membimbangkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata buktinya, perangkaan terkini bagi tahun 2021 menunjukkan keganasan rumah tangga telah meningkat sebanyak 42 peratus manakala penderaan fizikal kepada kanak-kanak juga meningkat sebanyak 28.5 peratus.

“Selain itu, jenayah seksual melibatkan mangsa yang kurang daripada 18 tahun meningkat 1.1 peratus dan bagi mangsa yang berumur 18 tahun ke atas, peningkatan yang dicatatkan adalah sebanyak 0.9 peratus. Kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak meningkat 28.5 peratus.

“Untuk itu, kita tidak boleh membenarkan data-data tersebut terus meningkat. Sebaliknya penderaan terhadap wanita dan kanan-kanak ini harus dihentikan segera. Kita perlu letakkan titik noktah kepada isu ini.

“Jangan benarkan ia berulang lagi. Jangan kita tutup sebelah mata dan membiarkan sahaja isu ini berkembang. Hentikannya. Dan ia perlu dihentikan sekarang!” tegas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru mangsa-mangsa penderaan untuk tidak mendiamkan diri dan boleh menghubungi pejabat Wanita UMNO bagi mengadukan permasalahan dihadapi bagi tindakan lanjut diadakan selanjutnya.

Tegas beliau ini adalah masa untuk melaksanakan tindakan yang lebih serius dan agresif kerana keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini memberi impak yang besar dan berpanjangan terhadap mangsa sepanjang hayat dan berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain.

“Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang telah menyaksikan, atau mengalami, keganasan lebih berkemungkinan menjadi mangsa atau pendera sendiri.

“… yang paling penting, seorang mangsa keganasan mesti mendapat keyakinan bahawa apabila dia membuat laporan polis, dia akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan pelakunya akan dihukum, bukannya harapkan pagar, pagar makan padi.

“Kesedaran sivik dan penerapan nilai-nilai kemanusiaan dan kehormatan dalam bermasyarakat juga adalah sangat-sangat diperlukan dan agenda ini perlu dijadikan keutamaan dalam penyampaian maklumat, pendidikan dan penataran media massa.

“Ayuh kita bina Malaysia yang lebih selamat. Malaysia yang amalkan keadilan dan melindungi wanita serta kanak-kanak. Kita perlu berganding bahu untuk kita wariskan negara yang aman dan makmur ini kepada generasi akan datang. Jangan kita pekakkan telinga dan butakan mata kerana Malaysia ini tanah tumpahnya negara kita,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.