PAU Pentas Terbaik Buktikan UMNO Kekal Bawa Perjuangan Dan Suara Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd Rizan Razali berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini merupakan pentas terbaik bagi membuktikan UMNO kekal dalam perjuangan membawa suara rakyat.

Katanya, ini kerana kepimpinan utama parti berada dalam Kabinet kerajaan baharu jadi ia merupakan peluang untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.

“Sebagai ahli parti kita seharusnya sedar dan menggunakan peluang di PAU ini untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa UMNO telah bersedia dan kembali menjadi satu barisan kepimpinan sebagai suara mewakili rakyat seluruhnya agar didengari oleh kerajaan.

“Ini penting kerana kepimpinan utama parti UMNO kini berada dalam Kabinet kerajaan yang stabil dan makmur.

“Lebih-lebih lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan Timbalan Perdana Menteri begitu juga kepimpinan utama parti merupakan Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau dalam pada itu juga berharap sebarang usul dibawa haruslah menunjukkan kematangan dalam membawa nama UMNO kepada arus perdana politik negara.

Katanya ini kerana revolusi pemikiran orang-orang parti perlu rasional demi kelangsungan perjuangan UMNO.

“Jangan sesekali kita hidangkan kemelut tanpa nokhtah kepada rakyat. Perbalahan sesama kita, rakyat meluat.

“Apa yang penting seperti mana saranan daripada Presiden.. bawalah apa jua usul selagi mana ianya dapat memperkukuhkan parti dan merapatkan saf kepimpinan parti.

“Survival parti keutamaan kita sekarang ini bagi mengharungi kedinamikan politik hari ini. Jauh bezanya zaman sebelum sebelum ini,” ujar beliau.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung minggu hadapan, memerlihatkan jumlah perwakilan dan pemerhati yang bertambah apabila ia turut melibatkan ketua penerangan bahagian dan sayap parti. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.