TPM Ahmad Zahid Sambut Baik Cadangan MPN, Bangunkan TVET Bersama KKDW

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) mengenai isu pembangunan sektor pendidikan khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berbesar hati menerima kunjungan dari MPN selama lebih dua jam untuk membincangkan sisi kerjasama dalam membangunkan negara.

“Alhamdullilah, hari ini saya berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari MPN yang diketuai oleh Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, selaku Pengerusinya.

“Lebih dua jam kami sama-sama berbincang dan melihat sisi kerjasama yang boleh dijalinkan. Pastinya, dengan kepakaran ilmuan dan kluster yang wujud di bawah MPN, banyak data, kajian, penyelidikan dan idea yang mampu diangkat untuk pembangunan negara bangsa,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkongsi mengenai rentetan perbincangan mereka yang menjurus kepada isu pembangunan dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melibatkan TVET.

“Dalam rentetan perbincangan, isu utama yang diangkat menjurus kepada isu pembangunan di bawah KKDW yang melibatkan sektor pendidikan khususnya TVET.

“Saya menyambut baik cadangan yang diberikan dan akan memastikan agensi di bawah KKDW akan terus diupayakan khususnya dalam sektor TVET,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengajak para ilmuan MPN untuk bersama dalam memberikan kepakaran mereka bagi isu kos sara hidup rakyat yang membebankan dan berharap agar sesi perkongsian sebegini akan terus diadakan.

“Saya juga mengajak para ilmuan yang bernaung di bawah MPN, turut bersama dalam membantu dan memberikan kepakaran mereka dalam isu kos sara hidup demi kesejahteraaan rakyat.

“Saya juga berharap sesi perkongsian dan meraikan pendapat dari para ilmuan ini akan terus diadakan kerana pertemuan seumpama ini adalah satu ‘koridor baharu’ dalam usaha mendapatkan input terbaharu yang diperlukan di dalam memastikan dasar pentadbiran negara sentiasa memenuhi aspirasi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.