Suburkan Demokrasi… Kredibiliti Institusi Presiden Perlu Diangkat

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Sebagai sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, kredibiliti institusi Presiden UMNO perlu diangkat sebagai penaung orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya, kata Ketua Penerangan Putra UMNO Malaysia, Qasrien Sazuki.

Jelasnya, UMNO perlu kembali memperjuangkan nasib bangsa Melayu, agama Islam secara berterusan dan institusi Presiden perlu dipulangkan kembali kepada akar umbi.

“Hingga saat ini, kami masih percaya dengan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kita perlu pastikan kredibiliti institusi Presiden diangkat sebagai penaung orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

“Inilah UMNO sebagai parti demokrasi. Kita bukan seperti Pas atau parti serpihan UMNO yang lain-lain. UMNO perlu kembali memperjuangkan nasib bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia.

“Jika benar kita mahukan perjuangan ini berterusan, institusi Presiden perlu dipulangkan kepada akar umbi dan dipertandingkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, UMNO tidak mengangkat dinasti keluarga atau seseorang individu untuk berkuasa dan pemilihan Presiden UMNO bukan untuk menggugat kedudukan Ahmad Zahid.

“UMNO tidak sama dengan sesetengah parti lain. Parti ini tidak mengangkat dinasti keluarga atau seseorang individu untuk berkuasa.

“Pemilihan Presiden UMNO bukan untuk menganggu-gugat kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Malah pertandingan jawatan tersebut akan meningkatkan kredibiliti dan mengangkat maruah institusi Presiden UMNO ke suatu peringkat yang mulia.

“Hari ini mereka memomokkan bahawa UMNO dikuasai Zahid Hamidi, malah ayat jahat mengatakan bahawa UMNO yang ada pada harini merupakan UMNO Zahid Hamidi. Hatta apa sekalipun, jika Zahid Hamidi akan dipilih sebagai Presiden selepas ini, saya percaya keputusan itu kerana kredibiliti beliau,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau percaya dan bersetuju Ahmad Zahid patut memimpin parti kerana kedudukannya sebagai seorang Presiden parti namun turut berpandangan bahawa demokrasi parti perlu terus disuburkan.

“Hingga saat ini, kami percaya dan bersetuju Datuk Seri Zahid Hamidi patut memimpin parti kerana kedudukan semasanya sebagai seorang Presiden. Tetapi kami juga percaya, demokrasi dalam parti patut terus diangkat dan disuburkan mengikut prinsip parti.

“Tiada orang seperti Datuk Seri Zahid Hamidi dan tiada orang boleh melawan seperti beliau. Cuma kita percaya, bagi memuliakan institusi tersebut dan menjernihkan naratif jahat, pertandingan kerusi tersebut harus dijalankan waima apa sekalipun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Qasrien turut menasihatkan agar ahli parti menghormati kerajaan hari ini dan tidak mengutamakan diri sendiri demi maruah parti.

“Pemilihan UMNO juga adalah soal memilih Presiden dan bukannya memilih kerajaan. Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 telah pun tamat.

“Nasihat saya, kerajaan yang ada pada hari ini, harus dihormati. Tidak wajar mana-mana ahli parti mengutamakan diri sendiri. Kini, kepentingan rakyat Malaysia perlu diletak paling hadapan. Inilah keutamaan kita tidak berbelah bahagi. Ekonomi.

“Tiada lagi Langkah Sheraton atau Langkah Seri Pacific. UMNO tidak boleh bertanggungjawab terhadap sebarang usaha menukar kerajaan. Ini semua soal mandat dan kepentingan rakyat. Demi kelangsungan dan maruah parti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.