PAU 2022 Bermula Rabu Depan, Kehadiran Ketua-ketua Penerangan Selaku Pemerhati Khas – SUA

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Januari  di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini akan menyaksikan kehadiran ketua-ketua penerangan selaku pemerhati khas.

Katanya ini kerana, ketua-ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU.

“Kelainan dalam PAU ini ialah pemerhati bertambah yang merupakan ketua penerangan bahagian-bahagian.

“Kenapa hendak jadikan mereka sebagai perwakilan automatik? Ini disebabkan kerana apabila mereka pulang segala ucapan dasar dan perwakilan negeri-negeri, sayap-sayap yang mereka dengar itu dijadikan bahan oleh ketua penerangan empat peringkat Wanita, Pemuda, Puteri dan bahagian untuk dijelaskan di bahagian masing-masing, itu rasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Auditorium Menara Dato Onn, di sini, petang tadi.

Turut hadir oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan; Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar; Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan dan Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul hazwani Haslan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM) juga akan diadakan pada hari Jumaat selepas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, PAU Khas itu diadakan untuk meminda dua Perlembagaan UMNO agar selari dengan Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti.

“Pada kali ini akan diadakan juga PAU Khas bagi membuat pindaan pada dua fasal perlembagaan UMNO.

“Berkaitan dengan akta lompat parti sebelum ini elemen gugur ahli tidak berkaitan sangat dengan akta ini, jadi nak dijadikan selaras masukkan elemen ini bagi pengguguran mereka yang jadi ahli UMNO apa bila mereka keluar parti merujuk kepada akta tersebut,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad memaklumkan persidangan empat hari ini juga lebih meriah dengan hampir seratus gerai jualan yang akan beroperasi sepanjang PAU berlangsung di perkarangan aras dua WTC.

Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini terdapat 68 buah agensi media melibatkan media cetak dan elekronik iaitu 50 agensi tempatan dan 18 agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 514 orang petugas media yang telah berdaftar pada PAU 2022. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.