KGT Tambahan Khas Mulai 1 Januari, Moga Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Setiausaha Agung UMNO yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan meluahkan kesyukuran dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas mulai Januari 2023.

Beliau berharap dengan KGT Tambahan Khas yang diberikan oleh kerajaan ini dapat meringankan kos sara hidup dalam kalangan penjawat awam.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Bajet Sementara yang dibentang dan dilulus pada 20 Disember lalu di Dewan Rakyat dan saya bentang di Dewan Negara setuju kepada KGT kepada penjawat awam sebanyak RM100.

“KGT Tambahan Khas mulai 1 Januari 2023. Moga bantu sedikit untuk ringankan kos sara hidup rakyat,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Beliau dalam pada itu menerusi ciapan berbeza juga turut menyentuh berkenaan kadar penurun tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) yang berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam tadi.

“Kadar tol turun untuk Besraya dan Lekas. Keputusan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan pada 21 Disember 2022 untuk dilaksana mulai 1 Januari ini.

“Moga ada lagi penurunan oleh konsesi tol lepas ini. Terima kasih Kerajaan teruskan usaha baik sebelum ini iaitu projek Pan Borneo Hiway yang tanpa tol untuk Sarawak dan Sabah,” ujar beliau.

Terdahulu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan kadar tol itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya berkenaan iaitu IJM Corporation Berhad selaras dengan keputusan jemaah menteri.

Selain itu, beliau menambah cadangan tersebut juga ialah tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.