Keterlibatan Pemimpin UMNO Dalam Kerajaan Perpaduan Mampu Stabilkan Negara – Dr Patawari

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Keputusan UMNO menyokong menyertai Kerajaan Perpaduan adalah satu tindakan yang bijak walaupun sukar diterima ahli parti , kata Ketua Penerangan Kelab Bersetia Bersahabat Malaysia Ahmad Zahid Hamidi (AZH) Sabah, Datuk Dr Patawari Patawe.

Beliau berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti gabungan yang mempunyai cukup bilangan kerusi bagi menubuhkan kerajaan dan UMNO menyahut titah Yang di- Pertuan Agong (YDPA) untuk bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO menerima dan menyahut titah YDPA bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama PH demi menstabilkan negara malah parti-parti lain pun turut menyahut titahnya.

“Pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat dalam Kerajaan Perpaduan ini amat bersesuaian serta tepat seperti Presiden UMNO, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung UMNO (SUA) BN dan UMNO yang telah diberi kepercayaan menjawat portfolio penting dalam kerajaan.

“Dengan pengalaman yang cukup luas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diangkat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, malah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan menjawat jawatan Menteri Pertahanan. Tidak terkecuali juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin sebagai Menteri Pengajian Tinggi. Bukan itu saja malah bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah menjawat sebagai Menteri Luar Negeri,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai dan Sebatik mengharapkan penyertaan pemimpin-pemimpin kanan UMNO ini akan dapat menyumbang kepada usaha untuk menstabilkan serta memakmurkan negara.

“Penyertaan pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dapat menstabilkan serta memakmurkan negara dan seluruh lapisan rakyat perlu bekerjasama bagi menyahut setiap program-program kerajaan,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada PRU15 UMNO telah memenangi 26 kerusi Parlimen dan empat kerusi komponen Barisan Nasional (BN).

Tiada parti gabungan yang boleh menubuhkan kerajaan kerana tidak cukup majoriti mudah bagi kerusi Parlimen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.