Perpaduan Formula Rencah Politik Baharu, Penting Rencana Masa Depan Negara – Syed Mohd Johan

ALOR SETAR, 30 Dis – Perpaduan adalah satu formula dan rencah politik baharu yang perlu didepani dan diperlihatkan segera supaya rakyat lebih memahami asas kemajmukan yang membina negara hari ini.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri berkata, formula perpaduan ini penting dalam merencana masa depan negara.

“Saya percaya, menuju masa depan formula perpaduan ini menjadi satu formula yang cukup penting dalam merencana masa depan negara dan juga negeri Kedah ini. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada di negeri Kedah ini merupakan satu kerajaan bersifat unilateral iaitu didominasi oleh satu kaum sahaja.

“Walaupun kaum tersebut adalah kaum Melayu, ianya sesuatu yang tidak sihat untuk demografi politik Malaysia secara keseluruhannya. Kita tidak boleh nafikan bahawa negara ini dibentuk dengan kepelbagaian, kemajmukan yang menjadi tunjang kepada negara bangsa bernama Malaysia ini.

“Jadi, perpaduan adalah satu formula dan rencah baharu yang saya kira UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu mendepaninya bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dan satu grand coalition perlu diperlihatkan segera supaya rakyat dapat menerima serta memahami asas perpaduan membina negara kita hari ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Alor Setar itu turut berpendapat bahawa segala gerak kerja perlu dinilai semula terutamanya selepas UMNO/BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dalam kita mengupas apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana caranya untuk kita melihat semula gerak kerja, strategi serta komitmen menuju masa depan kerana PRU ke-15 belum berakhir di enam negeri termasuk Kedah.

“Menuju PRN ini saya percaya dengan keputusan PRU ke-15 ini memerlukan satu komitmen dan strategi baharu untuk UMNO/BN berdepan dengan PRN ini dalam masa yang sama mencari di mana keserasian apabila kerajaan di peringkat turut melibatkan UMNO/BN sebagai salah satu komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Sebanyak enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan masih belum ada perbincangan untuk BN mengadakan kerjasama dengan PH bagi menghadapi enam PRN pada tahun depan meskipun Kerajaan Perpaduan telah terbentuk di peringkat pusat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.