Pemilihan UMNO… Medan Perkukuh Akar Umbi Dan Institusi Presiden Parti

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Pemilihan UMNO akan datang bakal menjadi medan bukan sahaja kepada setiap kepimpinan bahagian memperkukuhkan sokongan akar umbi, tetapi juga kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk teguhkan kesepaduan di dalam parti.

Ahli UMNO Bahagian Kuala Krau, Yusof Tashfin berpendapat, ianya penting bagi menjawab dakwaan segelintir ahli yang mengatakan bahawa Presiden UMNO itu tidak lagi mendapat kepercayaan akar umbi UMNO.

“Ada yang minta supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan atas alasan kestabilan parti. Dari perspektif berbeza, UMNO pernah mempertandingkan dua kerusi tersebut selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan para perwakilan begitu profesional kembali merapatkan saf kepimpinan setelah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan dipilih.

“Pemilihan UMNO akan datang menjadi medan bukan sahaja kepada setiap kepimpinan bahagian memperkukuhkan sokongan akar umbi, tetapi juga kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan kesepaduan di dalam parti. Ianya penting bagi menjawab dakwaan segelintir ahli yang mengatakan bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan akar umbi UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, dengan rekod menyelamatkan UMNO selepas tewas pada PRU ke-14 dan kembali menjadi kerajaan selepas tiga tahun menjadi pembangkang, sudah semestinya strategi politik beliau boleh diterjemahkan menerusi pemilihan jawatan tersebut.

“Beliau memiliki track record menyelamatkan UMNO selepas PRU ke-14, menjadi kerajaan semula walaupun tidak sampai tiga tahun menjadi pembangkang, bahkan membawa UMNO menjadi kerajaan pada hari ini. Sudah pasti penerimaan strategi politik beliau oleh ahli parti boleh diterjemahkan menerusi pemilihan jawatan Presiden UMNO.

“Pemilihan ini dilihat penting kerana UMNO perlulah dilihat lebih demokratik dan menunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang sentiasa meraikan demokrasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berpendapat, pemilihan UMNO adalah salah satu cara untuk memperkukuhkan kembali imej parti dan mendapat semula sokongan rakyat.

“Seawal perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 lagi, UMNO sebenarnya memilih untuk mengadakan pilihanraya, tetapi dikekang dengan pandemik COVID-19. UMNO juga paling konsisten menggesa peranan institusi parlimen kembali berfungsi selepas darurat yang berpanjangan. Maka penting pemilihan UMNO menjadi salah satu cara untuk memperkukuhkan kembali imej UMNO.

“Dengan sokongan yang kuat daripada ahli parti, dan imej UMNO yang semakin kukuh, saya percaya UMNO akan mendapat tempat semula di hati pengundi bukan sahaja sewaktu PRU-16 nanti tetapi seawal PRN di 6 buah negeri pada tahun hadapan.

“Malah pembuktian sokongan terhadap beliau juga akan menghentikan segala perbalahan sesama ahli dan membolehkan parti menjadi lebih stabil selepas ini,” katanya lagi.

UMNO/Barisan Nasional (BN) mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik Cina dan tsunami politik India pada PRU ke-13.

Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.

Pada PRU ke-15, saingan sengit berlaku apabila wujudnya sebuah gabungan baharu yang dilihat rakyat mampu untuk menggantikan perjuangan UMNO/BN iaitu Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.