Wanita UMNO Membina Semula Impian Usahawan Pasca Banjir – Noraini

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Wanita UMNO Malaysia menyambut baik tindakan pantas kerajaan yang telah memperuntukan sekitar RM400 juta untuk menyelaras operasi dan bantuan banjir baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meluahkan penghargaan itu kepada institusi kewangan dan institusi pembangunan kewangan (IKP) yang telah mengambil inisiatif menawarkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan kepada mangsa banjir.

“Pastinya, keputusan dan tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir terutamanya yang mengalami kerosakkan teruk kediaman atau premis perniagaan mereka.” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong bagaimanapun berharap agar kerajaan memberi perhatian lebih serius kepada usahawan-usahawan terutamanya daripada kalangan wanita yang terkesan dengan bencana banjir.

“Wanita UMNO mencadangkan supaya kerajaan memperuntukan dana dalam bentuk pemberian geran untuk para usahawan membina semula perniagaan mereka.

“Selain daripada itu, Wanita UMNO mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim pembiayaan pinjaman tanpa faedah dengan moratorium selama 12 bulan,” katanya.

Noraini juga meluahkan keyakinan dengan adanya bantuan-bantuan kewangan seperti itu semestinya dapat menyokong perniagaan dan usahawan tempatan untuk pulih dan bangkit semula.

“Wanita UMNO juga telah menggerakkan jentera untuk mengumpulkan usahawan-usahawan wanita yang terkesan akibat banjir dan akan memastikan penyaluran bantuan yang dijanjikan oleh Kerajaan sampai dengan sebaik-baiknya kepada setiap usahawan wanita yang terjejas,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.