UMNO Jamin Kerajaan Perpaduan Pelihara Keharmonian Rakyat, Hak Melayu – Ramlan

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani menegaskan bahawa parti keramat ini akan sentiasa mendukung perjuangan yang telah digalas selama ini berlandas kepada tujuan asal penubuhannya.

Katanya, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan sentiasa menjaga perkara-perkara seperti termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Tengok balik pada awal persetujuan bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ada empat perkara Presiden tekankan yang pertama agama rasmi Islam, hak Raja-raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu akan terus terpelihara.

“Itu teras persetujuan kerajaan bersama pada saya kita terus berjuang sebagai mana asal perjuangan UMNO yang mana Presiden kata bahawa beliau akan tetap meneruskan agenda orang Melayu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelas beliau, perkara tersebut tidak akan dicapai sekiranya UMNO/Barisan Nasional mengambil keputusan untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana gabungan itu terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan senang dengan dominasi oleh UMNO.

“Jika kita bersama PN saya nampak mereka ini tidak ada ketulusan, ada agenda di sebaliknya, mereka tidak mahu UMNO lebih menonjol terutama sekali apabila ada PPBM di situ.

“Saya lihat UMNO akan tetap memainkan peranan dalam kerajaan, kerana dalam PH tidak ada parti yang betul-betul memperjuangkan terutamanya hak orang Melayu dan Islam,” ujar beliau.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dalam pada itu berkata, ahli parti akar umbi khususnya di Kuala Lumpur akan diberikan penerangan membabitkan isu semasa politik negara khususnya pemahaman berkenaan Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang ini kalau kata yang bawah ini sekiranya ada perkara yang tidak jelas dan sebagainya mungkin nanti di peringkat negeri-negeri sudah ada yang buat penjelasan.

“Di Wilayah insya-Allah akan menyusul di bawah kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang akan buat roadshow untuk jelaskan beberapa perkara termasuk berkenaan bekerjasama dengan PH,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.