Penghargaan Kepada Jentera UMNO/BN, Usaha Kekalkan Kemenangan Di Rembau – Mohamad

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan penghargaan kepada kesemua jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) yang bertungkus lumus sepanjang perjalanan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebagai menghargai usaha yang dilakukan mereka, Mohamad mengadakan pertemuan menerusi majlis bersama jentera seperti yang dikongsi beliau di Facebook.

“Majlis meraikan kepimpinan UMNO Bahagian Rembau dari Dewan Undangan Negeri (DUN), Kota bersama komponen BN iaitu MIC, MCA, Makkal Sakti dan KIMMA.

“Ucapan terima kasih diucapkan kepada semua jentera pelbagai peringkat parti yang memberikan sokongan, bertungkus lumus bekerja keras mengekalkan kemenangan bagi kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya yang lepas,” katanya.

Menerusi hantaran berbeza, Mohamad memaklumkan keringat dan kerjasama yang dilakukan oleh jentera parti akan kekal terpahat dalam ingatan beliau.

“Majlis bersama kepimpinan UMNO Bahagian Rembau meraikan seluruh jentera parti UMNO dari DUN Chembong pelbagai peringkat yang bertungkus-lumus menyumbang tenaga dan berkorban masa dalam memastikan Parlimen Rembau menang di kawasan DUN ini.

“Segala jasa dan keringat amat saya hargai, doa yang terbaik untuk Rembau agar terus kekal makmur,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mohamad berjaya memenangi kerusi Parlimen Rembau pada PRU15, sekali gus mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 53,075 undi menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 19,897 undi.

Mohamad seterusnya dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.