Pedulikan Ideologi Politik, Keutamaan Bantu Mangsa Banjir – Ahmad Zahid

KOTA BHARU, 23 Dis – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keprihatinan serta bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir tidak mengenal ideologi politik termasuk daripada negeri pembangkang.

Katanya, ini kerana perkara utama adalah memastikan kebajikan mangsa terus terjaga daripada terkesan dengan musibah banjir yang dihadapi mereka sejak beberapa hari lalu.

“Memperlihatkan keprihatinan saya dan kerajaan perpaduan di peringkat nasional, prinsip kami apabila permasalahan rakyat terutama banjir berlaku mengamalkan prinsip buta warna.

“Sama ada kerajaan negeri bersama dengan kerajaan Persekutuan atau sebaliknya kami ketepikan semua berbezaan kerana yang menjadi asas kepada adalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat situasi banjir Jajahan Pasir Puteh yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, semalam.

Ahmad Zahid pada masa sama turut memaklumkan Kelab Putra Malaysia di bawah Biro Kebajikan UMNO dalam perjalanan menghantar tiga treler ke negeri ini.

“Tiga treler bantuan akan datang dari Kuala Lumpur oleh Kelab Putera Malaysia yang diketuai oleh Datuk Seri Azeez Rahim dan mereka dalam perjalanan datang ke sini selepas menghulurkan di Kemaman, Dungun, Besut dan daerah lain di Terengganu.

“Setiap treler makanan bernilai hingga RM60,000 saya harap bantuan ini dapat menampung ketidak cukupan kewangan yang diberikan oleh agensi kerajaan

“Terima kasih kepada Menteri Besar, serta tokoh-tokoh tempatan terutama Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman yang mengambil pendekatan proaktif apabila saya menghubungi beliau untuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jerlor ini,” ujar beliau.

Sementara, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bersama dalam lawatan tersebut menyerahkan ‘water jet’ kepada Skuad Sabil dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan sebagai memudahkan operasi pencucian rumah yang terjejas.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) hari ini melawat dua buah negeri yang terkesan banjir iaitu Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan gambaran terkini bencana di beberapa kawasan. –  UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.