Alhamdulillah… Inisiatif Sebelum Ini Untuk Rakyat Diteruskan PM-10

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Langkah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan beberapa inisiatif sebelum ini menunjukkan apa yang dirancang adalah untuk kepentingan rakyat serta negara.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Bajet mini yang dibentang serta diluluskan di Dewan Rakyat membolehkan beberapa perkara dan apa yang telah dirancang sebelum ini dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhannya.

“Legasi Datuk Seri Ismail Sabri diteruskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Alhamdulillah… sebelum ini Dewan Rakyat telah meluluskan Bajet Mini 2023 dan RUU Kumpulan Wang Disatukan bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam mulai Januari.

“Alhamdullilah pelbagai inisiatif yang dibentangkan semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM-9 akan diteruskan oleh PM-10. Antaranya adalah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Musim Tengkujuh, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman facebooknya.

Kata beliau lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Terengganu, kesemua inisiatif ini telah pun dibentangkan dalam Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia pada 7 Oktober 2022 lalu.

“PM-9, Datuk Seri Ismail Sabri juga telah membuat keputusan untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan kos ditanggung kerajaan sebanyak RM 5.8 bilion.

“Apa pun pemimpin silih berganti. Ketika diberi amanah menjadi PM-9, Datuk Seri Ismail Sabri telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.Legasinya kini diteruskan PM-10.Semoga ianya bermanfaat untuk negara dan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.