Pahang Hulur Bantuan Banjir Kepada Terengganu

KUANTAN, 22 Dis – Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas bernilai RM150,000 kepada Terengganu yang dilanda musibah banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan berkenaan diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan Angkatan Pertahanan Awam negeri.

Beliau berkata bantuan barangan meliputi kit bencana, kit makanan ringan, tikar, selimut tebal, kain batik dan pelekat serta lampin pakai buang berkenaan, telah dihantar ke negeri jiran itu pada 3 petang semalam.

“Bantuan yang disalurkan ini diharap dapat meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir di Terengganu terutamanya yang sedang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kerajaan Pahang bersimpati dengan nasib rakyat Terengganu yang sedang berdepan dengan musibah banjir susulan Monsun Timur Laut dan saya juga berharap mereka dapat bersabar dengan dugaan ini serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehingga petang semalam, jumlah mangsa banjir Terengganu merekodkan 38,574 orang dengan 277 PPS dibuka membabitkan daerah Kemaman, Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.