Jagalah Parti Keramat Ini Dari Segala Ancaman Dalam Dan Luar – Norliza

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim mengingatkan para pemimpin, ahli dan akar umbi untuk terus menjaga parti keramat ini dari segala ancaman dalaman dan luaran.

Jelasnya, UMNO adalah sebuah parti yang diibaratkan seperti rumah kaca, perlu dilindungi, dirahmati, diperkukuhkan dan sentiasa dipelihara.

“Jagalah parti keramat ini kerana ia umpama rumah kaca yang perlu dilindungi, dirahmati, diperkukuhkan dan dipelihara dari apa jua ancaman dalaman serta luaran.

“Sekadar renungan untuk kita semua supaya terus kuat berfikir waima dalam hal yang kecil sekalipun,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

UMNO/Barisan Nasional (BN) mula mengalami kemerosotan undi sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 apabila berlakunya tsunami politik Cina dan tsunami politik India pada PRU ke-13.

Bahkan, undi UMNO/BN terus merosot pada PRU ke-14 apabila buat kali pertama parti yang memerintah selama 61 tahun itu hanya memperoleh 79 berbanding 133 kerusi Parlimen pada PRU ke-13.

Pada PRU ke-15, saingan sengit berlaku apabila wujudnya sebuah gabungan baharu yang dilihat rakyat mampu untuk menggantikan perjuangan UMNO/BN iaitu Perikatan Nasional (PN).

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.