28 Projek Tebatan Banjir Diberikan Secara ‘Direct Nego’ Zaman PN, Isham Jalil Gesa Penjelasan

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Sebanyak 28 daripada 39 projek tebatan banjir telah dianugerahkan secara rundingan terus semasa zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta menteri bertanggungjawab ketika itu memberikan penjelasan mengenai rundingan terus yang bernilai RM15 bilion.

“Saya telah dimaklumkan terdapat 28 daripada 39 projek tebatan banjir telah dianugerahkan secara rundingan terus. Perkara ini dimaklumkan dalam parlimen.

“28 projek tebatan banjir ini melibatkan kos atau bajet kerajaan berjumlah RM15 bilion ataupun 90 peratus daripada keseluruhan bajet tebatan banjir kementerian tersebut dan menteri yang bertanggungjawan dalam hal ini adalah daripada PN,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Isham turut mempersoalkan syarikat manakah yang berjaya mendapat projek itu melalui rundingan terus tanpa sebarang pembukaan tender.

“Jadi, saya nak tanya menteri yang bertanggungjawab ini dahulu. Nombor satu, kenapa bagi 90 peratus daripada peruntukan tebatan banjir ini yang bernilai RM15 bilion secara direct nego? Syarikat manakah yang dapat projek ini?

“Dalam tempoh berapa bulan sahaja, RM15 bilion telah diberi secara direct nego. Jadi, saya nak menteri terbabit jawablah,” katanya lagi.

Pada Oktober media melaporkan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) hingga 2030 sebagai strategi jangka panjang menghadapi perubahan iklim di seluruh negara.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau terpaksa mengkaji semula kaedah pemberian kelulusan projek yang dibuat secara rundingan terus kerana ia bukan bersifat mendesak dan sepatutnya sebanyak RM2 bilion boleh dijimatkan sekiranya amalan ini diberhentikan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.