Kerajaan Perpaduan: Menteri UMNO/BN Komited Melaksanakan Tugas Demi Rakyat Dan Negara

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang dilantik sebagai menteri di bawah kabinet Kerajaan Perpaduan menunjukkan komitmen kerja tanpa mengundang kontroversi dan kritikan yang serius, kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi.

Jelasnya, antara inisiatif pantas diambil oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta lawatan kerja ke luar negara oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pelaburan asing.

“Keyakinan kepada barisan Menteri UMNO/BN masih belum teruji kerana rakyat menumpukan kepada kos sara hidup, pendidikan dan hak kebebasan yang melibatkan kementerian-kementerian yang disandang oleh menteri dari PKR dan PAN.

“Namun begitu, pemimpin UMNO/BN yang dilantik ke dalam kabinet menunjukkan komitmen kerja tanpa mengundang kontroversi dan kritikan serius.

“Antaranya, inisiatif pantas diambil oleh Menteri Undang-Undang dalam usaha mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta lawatan kerja ke luar negara oleh Menteri MITI bersama Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pelaburan asing,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Anis Anwar, disebabkan UMNO merupakan sebuah parti yang sering terdedah kepada sentimen dan persepsi, maka komunikasi politik yang berkesan diperlukan agar majoriti rakyat dapat menilai segala kerja dilaksanakan.

“UMNO adalah sebuah parti politik yang terdedah kepada sentimen dan persepsi maka faktor tersebut akan memberi kesan terhadap tahap sokongan dan keyakinan rakyat kepada mereka.

“Oleh itu, komunikasi politik yang berkesan dan libat urus dengan masyarakat sivil perlu dijalankan dengan serius agar mesej parti dapat disampaikan kepada majoriti rakyat supaya segala pencapaian, prestasi kerja dan track record dapat dinilai dengan lebih rasional oleh rakyat,” katanya lagi.

Pada 2 Disember yang lalu media melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa lima pemimpin daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) telah dilantik sebagai menteri di bawah Kerajaan Perpaduan.

Pemimpin yang dilantik sebagai menteri kabinet adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri); Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi); Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar Negeri) dan Senator Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.