Isham Jalil Persoal Keberadaan MB Terengganu Ketika Negeri Tersebut Dilanda Banjir

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mempersoalkan keberadaan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa sedang berada di Aukland, New Zealand ketika negeri tadbirannya dilanda banjir besar.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau mempersoalkan adakah New Zealand turut dilanda musibah yang sama kerana Ahmad Samsuri sedang berada di sana.

Spekulasi mengenai keberadaan Ahmad Samsuri semakin kencang bertiup berikutan beliau tidak kelihatan semasa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Terengganu semalam.

Bekas pensyarah universiti itu juga tidak kelihatan ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir di negeri itu pada hari yang sama.

Difahamkan bahawa Ahmad Samsuri bersama isterinya telah berlepas ke Auckland pada 11 Disember dan dijangka akan pulang esok (22 Disember).

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat turut memaklumkan bahawa Ahmad Samsuri sememangnya sedang berada di Auckland namun, Kerajaan Terengganu berpendapat, tidak timbul apa-apa isu berhubung cara pengurusan banjir di negeri itu dijalankan.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga berbanding 39,311 orang daripada 10,937 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemuanya sedang berlindung di 299 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

Daerah Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 9,147 orang yang ditempatkan di 30 PPS, Besut (8,536 orang, 88 PPS), Hulu Terengganu (5,893 orang, 49 PPS) dan Dungun (4,419 orang, 40 PPS).

Selain itu, di Setiu seramai 4,352 orang ditempatkan di 52 PPS, Kuala Nerus (3,597 orang, 16 PPS), Kuala Terengganu (2,777 orang, 12 PPS) serta Marang (1,735 orang, 12 PPS).

Berdasarkan laman sesawang https:publicinfobanjir.water.gov.my/, enam sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya termasuk Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman, Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.