Banjir: Ahmad Zahid Arah ATM Mobilisasi Aset-Aset Terlibat

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Bagi menyelesaikan isu logistik yang melibatkan gerak kerja membantu mangsa dan penghantaran barang keperluan di lokasi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memobilisasikan aset-aset tidak terlibat dengan banjir supaya ditempatkan di kawasan terlibat.

Jelasnya, keadaan banjir yang semakin membimbangkan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur berlaku akibat hujan lebat berterusan dan taburan hujan meningkat tiga kali ganda daripada biasa.

“Sejurus selepas sesi sidang Dewan Rakyat pagi tadi, saya bergegas ke Terengganu bagi melihat keadaan keadaan banjir yang semakin membimbangkan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

“Keadaan ini berlaku setelah hujan lebat berterusan dan taburan hujan seperti di Daerah Besut ini meningkat tiga kali ganda daripada taburan hujan biasa akibat luruan kedua Monsun Timur Laut. Di Terengganu sahaja, lebih 39,721 mangsa banjir dikenalpasti dan 318 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan sekurang-kurangnya 10,800 keluarga.

“Bagi menyelesaikan isu logistik yang melibatkan gerak kerja membantu mangsa dan penghantaran barang keperluan di lokasi, saya telah meminta pihak ATM melalui Menteri Pertahanan untuk memobilisasikan aset-aset yang tidak terlibat dengan banjir untuk ditempatkan di kawasan dilanda banjir seperti di kawasan Pantai Timur ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memohon seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan banjir supaya mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan segera berpindah sekiranya perlu.

“Saya juga sekali lagi ingin memohon seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terdedah dengan bencana banjir agar dapat mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan berpindahlah sekiranya perlu.

“Negeri Terengganu masih kategori bahaya mengikut Amaran Hujan Berterusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa Agensi-Agensi menyelamat telah diarahkan untuk melaksanakan pemindahan awal ke PPS berdasarkan amaran MET Malaysia dan turut berharap agar semua urusan dipermudahkan.

“Agensi-Agensi menyelamat telah diarah untuk melaksanakan pemindahan awal ke PPS berdasarkan Amaran METMalaysia bagi mengelakkan kes-kes mangsa terperangkap di rumah berikutan kesukaran petugas untuk memasuki lokasi akibat terputus hubungan, air yang deras dan sebagainya.

“Semoga urusan kita semua dipermudahkan dan keadaan banjir beransur lebih baik,” katanya lagi.

Setakat jam 9.00 pagi tadi media melaporkan bahawa keadaan banjir di Terengganu semakin apabila seramai 40,456 mangsa berada di 299 PPS. Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya seramai 39,500 mangsa di 299 PPS, malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.