Tumpu Agenda Perkasa Ekonomi Negara, Fokus Bantu Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ahli Parlimen Pontian merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berikar akan memberi tumpuan kepada agenda memperkasa ekonomi negara.

Katanya, ini termasuk memberi fokus membantu rakyat yang sebelum ini masih terkesan dengan penularan COVID-19, golongan berpendapatan rendah dan pertengahan serta terkini mangsa banjir di beberapa buah negeri.

“Ayuh kita menumpukan lebih kepada ekonomi rakyat dan ekonomi negara. Ayuh kita tumpukan untuk bantu mangsa banjir, mangsa kesan COVID-19 yang ambil masa untuk pulih, M40, B40 dan golongan miskin,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Beliau juga pada masa sama meluahkan kesyukuran apabila usul undi percaya diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat semalam sekaligus mengabsahkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Syukur sudah jelas keabsahan Perdana Menteri bila sokongan 2/3 (148) diperoleh di Dewan Rakyat,” ujar beliau.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul undi tersebut melalui undi suara majoriti, keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas usul itu selesai digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina memaklumkan, seramai 13 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan, dan majoriti pembahas membangkitkan tentang kandungan Perjanjian Persefahaman antara Gabungan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, sidang kedua Dewan Rakyat hari ini dijadual bermula dengan pembentangan bajet mini membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM56 bilion oleh Perdana Menteri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit