Terima Kasih PM Teruskan Inisiatif Keluarga Malaysia, Fokus Kesejahteraan Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Naib Presiden UMNO merangkap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan segala inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, segala inisiatif yang diluluskan tersebut merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan inisiatif-inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

“Inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober 2022 lalu, yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

“Ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera itu turut menyenaraikan beberapa inisiatif bajet yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

“Antara inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini adalah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan. Malah Kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi.

“Keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion, dan memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022. Keputusan itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650 merangkumi pembayaran gaji penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.