Kerajaan Stabil Bermajoriti Dua Pertiga Harus Fokus Mensejahterakan Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersyukur dengan lulusnya Usul Percaya terhadap Perdana Menteri semalam maka buat pertama kali selepas 2008, Kerajaan Malaysia mempunyai majoriti besar dua pertiga.

Kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu, majoriti besar penting untuk memastikan negara mencapai kestabilan agar tiada lagi insiden pertukaran kerajaan beberapa kali berlaku seperti mana dahulu.


“Majoriti dua pertiga ini juga mustahak bagi memastikan kestabilan yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

“Majoriti dua pertiga ini juga amat penting bagi memastikan kestabilan yang diperolehi mampu memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada pelabur untuk kembali memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama sekaligus merancakkan dan memulihkan kembali pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru tambahnya, semua pihak harus titik noktahkan segera segala perdebatan mengenai keabsahan kerajaan ini dan kembali memberikan tumpuan dan keutamaan kepada agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara.

Jelas Dr Asyraf lagi, kata nama ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia hanyalah kata nama yang dipilih bagi menggambarkan gabungan parti-parti utama yang membentuk majoriti besar dua pertiga yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan serta Ahli-ahli Parlimen lain.

“Walaupun kata nama ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ ini tidak menggambarkan falsafah ‘unity goverment’ dalam istilah sains politik kerana masih wujud Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN), namun tiada salahnya kata nama ini tetap digunakan sebagai manifestasi gabungan parti-parti politik yang secara kolektifnya mewakili hampir 70% undi popular rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan majoriti dua pertiga Ahli-ahli Parlimen yang mendokongnya,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.