Kejayaan Undi Usul Percaya Permulaan Kerajaan Yang Stabil, Demi Kemakmuran Rakyat
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur kini sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.
“Dengan keyakinan dan legitimasi hari ini, ia merupakan manifestasi buat semua pihak termasuklah Kerajaan dan Pembangkang untuk bergerak ke hadapan dan memberi seluruh tumpuan membangunkan negara.
“Rakyat hari ini mendambakan Kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. Oleh itu pastinya, isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ini,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu catatan di Facebook.
Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang ini memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.
“Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera.
“Justeru, kestabilan politik amat penting agar rakyat Malaysia dapat bersama sederap bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik,” ujarnya lagi,
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menzahirkan ucapan terima kasih buat mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun atas perkhidmatan beliau selama ini.
“Tahniah jua atas pemilihan dan selamat bertugas buat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang baharu serta timbalan-timbalan beliau.
“Gunakan landasan ini bagi menjayakan bersama agenda pengukuhan institusi Parlimen dengan sebaiknya,” serunya. – UMNO ONLINE