Isu Nasional Perlu Dikuasai Sebaiknya Akar Umbi UMNO – Shahril

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan peringkat kepimpinan bahagian dan cawangan perlu memainkan peranan tersendiri dalam menangani isu nasional.

Katanya ini kerana, memberi khidmat bakti semata-mata tidak memandai sekiranya isu di peringkat nasional membelenggu pengundi tempatan tanpa diberikan penjelasan yang secukupnya.

“Dahulu kita selalu cakap jaga cawangan, pusat daerah mengundi, kalau semua jaga peranan masing-masing boleh menang tapi semuanya tidak semudah itu kerana nasional wave itu sangat penting, suka atau tidak kita kena beralih daripada mentaliti politik khidmat bakti semata-mata itu bukan untuk meraih undi lagi.

“Apa cadangan spesifik? Kalau bukan politik berasaskan khidmat bakti semata-mata, bukan politik berasaskan program semata-mata, dekat kawasan kena buat apa?

“Saya ingat kita kena buat juga program-program yang menyentuh sentimen nasional, isu tempatan jangan kita tinggalkan terus tapi nasional itu lebih penting. Cawangan dan bahagian pun boleh ada pengaruh tentang sentimen nasional di atas, kena tengok balik struktur UMNO.

“Jangan hanya cawangan dan bahagian ini kita longgokkan, buatlah kerja di kawasan tanpa ada pengaruh yang lebih besar tentang apa yang berlaku di atas,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Jelas beliau, gerak kerja seperti ini perlu dilakukan kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi berbanding parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Shahril berkata meskipun gabungan tersebut tidak mempunyai kekuatan jentera kukuh seperti UMNO/BN namun mereka berjaya memperolehi bilangan kerusi yang tinggi disebabkan isu nasional tidak dikuasai sebaiknya di peringkat akar umbi.

“Tidak banyak tempat di Malaysia ini yang terkecuali daripada wave nasional, anggap politik ini macam produk jadi ada ‘pemborong dan peruncit’. UMNO ini hebat dengan rangkaian runcit dia sampai ke bawah termasuk kampung, cawangan tapi kalah.

“… kerana politik saya nampak sudah lebih menjadi borong seperti PKR, Dap bukannya kuat sangat rangkaian mereka di bawah, PPBM sudah pasti tidak boleh atasi UMNO tapi sebab politik borong mereka lebih baik dan hebat pada PRU15 maka mereka mendapat lebih kerusi kita hanya mendapat 30.

“Hebat macam mana pun kita di bawah iaitu rangkaian tetapi kalau nasional tidak elok, maka tidak eloklah juga,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.