Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Siap Siaga Hadapi Banjir – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah sedia diaktifkan dengan tahap kesiapsiagaan yang sentiasa ditambah baik bagi menghadapi bencana banjir yang sedang dan bakal berlaku terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pusat pemindahan sementara juga dilengkapi keperluan asas untuk mangsa terkesan dan semua Pos Kawalan Tempat Kejadian juga diminta untuk memastikan segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan sedia digunakan.

“Bagi mangsa yang memerlukan bantuan kecemasan diminta terus menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

“Saya menyeru semua penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada banjir untuk patuh kepada arahan pihak berkuasa dan berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk, sesuai dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berharap ketua keluarga sentiasa memantau pergerakan ahli keluarga mereka di kawasan banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

METMalaysia hari ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan peringkat Bahaya yang telah dikemas kini pada 18 Dis bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan peringkat Buruk bagi negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Luruan monsun dijangka berterusan sehingga 25 Dis dan hujan berterusan dijangka berlaku di timur dan utara Semenanjung. Hujan lebat berterusan juga dijangka tertumpu di Pahang dan Johor bermula 21 hingga 22 Disember. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.