Melaka Capai 95 Peratus Pelaksanaan Aku Janji PRN – Sulaiman

MELAKA, 19 Dis – Kerajaan negeri Melaka berjaya mencapai 95 peratus pelaksanaan inisiatif aku janji ditawarkan kepada rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata pencapaian berkenaan melibatkan 26 inisiatif aku janji satu tahun pentadbiran kerajaan negeri yang dipantau melalui Sistem Melaka Laksana.

“Baki lima peratus lagi pencapaian aku janji itu masih dalam proses pelaksanaan dan insya-Allah, ia akan dicapai sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Manifesto PRN Melaka merangkumi satu matlamat, lima teras dan 103 inisiatif dan akan terus dipantau pencapaiannya mengikut tempoh masa dijanjikan iaitu 100 hari, satu tahun, tiga tahun dan lima tahun demi membawa Melaka menuju masa depan lebih gemilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Tahun 2022 dan Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Sulaiman berkata daripada 26 inisiatif aku janji satu tahun berjaya dicapai dalam tempoh berkenaan ialah di bawah teras dua iaitu lonjakan ekonomi baharu.

Beliau berkata di bawah teras itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian telah melaksanakan program pertanian bandar melibatkan 50 komuniti, Program Tanaman Fertigasi Wadira iaitu Wanita Dinamis Felcra melibatkan 100 orang peserta.

“Bagi sektor perikanan pula, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan KajianPerikanan Rekreasi Laut Dalam bertujuanmeningkatkan pendapatan anak-anak nelayan dengan membawa pemancing berekreasi ke laut dalam selain menjadi penanda aras stok ikan di perairan Melaka.

“Bagi infrastuktur pula, sebanyak RM1.68 juta dibelanjakan untuk menaik taraf jeti nelayan dan sebanyak RM63,000 diperuntukkan bagi menaik taraf jalan ladang,” katanya.

Beliau berkata selain itu, di bawah pencapaian tiga iaitu melibatkan tadbir urus kerajaan negeri, dasar bagi Cadangan Semula Melaka Land Rules (MLR) 1966 Tahun 2022 berkaitan pindaan bagi memudahkan urus niaga tanah diluluskan.

Kerajaan negeri juga, kata beliau membuat penambahbaikan seperti penyeragaman Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada di bawah pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan.

“Selain itu, di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) yang merangkumi 11 flagship turut menunjukkan prestasi yang baik apabila prestasi keseluruhan bagi tahun ini adalah sebanyak 94 peratus,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.