Rahman Ingatkan Pengguna Jalan Raya Peka Keadaan Semasa Di Musim Tengkujuh

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan peka dengan perkembangan semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata pihaknya memantau secara dekat sebarang perkembangan terkini termasuklah insiden banjir lumpur di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pagi tadi.

“Sekitar jam 11 pagi tadi saya dapat makluman berkaitan insiden banjir lumpur di KM393 (Arah Selatan) antara laluan Ajil ke Bukit Besi, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dipercayai berpunca dari limpahan air cerun bukit berhampiran lokasi tersebut.

“Alhamdulillah, tiada kemalangan dilaporkan dan limpahan air di lokasi telah surut sepenuhnya tengah hari tadi.

“Namun, untuk keselamatan kita telah mengambil tindakan untuk membuka laluan kontra (Contra Flow) bagi pengguna yang menggunakan laluan tersebut,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah beliau lagi, keadaan berkenaan akan dilantau dari semasa ke semasa oleh agensi dan pihak berkaitan untuk keselamatan semua pihak.

“Pasukan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS LPT2 masih memantau keadaan semasa bagi memastikan pengguna jalan raya dapat menggunakan lebuhraya dengan selamat.Sama-sama kita doakan semoga semuanya dalam keadaan baik,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.