Pemimpin UMNO/BN Mampu Stabilkan Politik, Rancakkan Ekonomi Negara – Ali Syariati

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Presiden Persatuan Mahasiswa Machang Malaysia (Pemancar) Ali Syariati Abdul Wahab berkata penglibatan pimpinan UMNO dalam kerajaan pada hari ini sebenarnya amat penting dan secara tidak langsung dapat menstabilkan negara.

Jelas beliau, peranan pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan mampu memperkasa pentadbiran dan bekerjasama pelbagai pihak untuk fokus menstabilkan politik negara.

“Penglibatan UMNO dalam kerajaan ini amat penting bukan sahaja untuk memastikan kestabilan politik dalam negara tetapi juga untuk sama-sama membantu merancakkan lagi ekonomi negara.

“Kerajaan perpaduan ini adalah satu bentuk gabungan baharu dan sememangnya tidak pernah berlaku dalam negara ini iaitu UMNO/Barisan Nasional (BN) bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain parti dalam satu kerajaan.

“Barisan kabinet kerajaan perpaduan khususnya dari pimpinan UMNO bersedia membantu kerajaan kerana kebanyakannya pernah mengurus tadbir negara sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini

Sehubungan itu Ali Syariati mengharapkan agar ahli UMNO sama-sama muhasabah pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“Akar umbi UMNO harus introspeksi diri dan perlu lihat satu gambaran yang luas pada PRU baru-baru ini…namun bukan semua rakyat yang tidak mahukan parti keramat ini.

“Penilaian rakyat pada masa kini amat berbeza dan ada juga yang tidak termakan dengan sentimen-sentimen yang dibawa pada PRU baru-baru ini. Tapi ada juga sesetengah kawasan rakyat tidak termakan dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang menyebabkan parti ini ditolak,” katanya lagi.

Tambah Ali Syariati, UMNO perlu ‘revise’ dan menjadikan parti ini menjadi satu pilihan untuk anak muda.

“Saya yakin dan percaya UMNO adalah satu parti yang sememangnya dekat dengan rakyat. Parti yang sentiasa menjaga hal ehwal dan kebajikan rakyat.

“Insya Allah… selepas ini pucuk pimpinan akan melihat dari sudut yang berbeza bagi memastikan UMNO kekal relevan dan terus diterima oleh masyarakat serta semua golongan, bukan sahaja di bandar namun termasuk juga di luar bandar,” ujarnya lagi.- UMNO Online