Perjanjian Permuafakatan Untuk Kestabilan Negara Lima Tahun Akan Datang – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan negara stabil bagi tempoh lima tahun akan datang.
Malah kata beliau lagi yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan tiada lagi ‘Scheme of Thing’ untuk jual beli Ahli-ahli Parlimen hingga kerajaan bertukar ganti berkali-kali.
“Perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan tumpuan diberikan sepenuhnya untuk memacu kembali ekonomi dan mensejahterakan rakyat.
“Justeru, cukup-cukuplah berpolitik dan berpolemik. Fokus ke hadapan untuk sama-sama majukan negara dan menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda rakyat. 5 tahun lagi kembali bertarung di medan pilihan raya umum (PRU),” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau seterusnya menegaskan perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan setiap pihak dalam kerajaan sentiasa menghormati dasar, polisi dan orientasi setiap parti yang bergabung.
Begitu juga tambahnya, tidak sesekali menyentuh hal-hal sensitif yang merosakkan keharmonian persepakatan.- UMNO Online