Menyayat Hati… Rahman Zahirkan Simpati Terhadap Keluarga Mangsa Terlibat

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkongsi perasaan dengan mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, dan berharap operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar.

Baginya kejadian itu menyayat hati serta berharap operasi menyelamat yang diteruskan lagi pada hari ini berjalan dengan sebaiknya dan dipermudahkan segala urusan.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dapatkan analisis bagi merangka tindakan selanjutnya.

“Menyayat hati… itu kata-kata yang dapat saya gambarkan sebaik saja tiba di lokasi runtuhan berhampiran ladang organik Father’s Organic Farm. Sempat bertemu dengan salah seorang mangsa yang terselamat, katanya kejadian berlaku sekelip mata selepas dengar bunyi letupan kuat dan bunyi tanah dan pasir jatuh.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa.

“Bagi pihak Kementerian Kerja Raya, kita akan dapatkan laporan daripada forensik JKR untuk dapatkan analisis bagi merangka tindakan selanjutnya,” katanya.

Kata beliau lagi operasi menyelamat masih diteruskan dan berharap segala-galanya berjalan lancar.

“Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan… buat masa ini difahamkan seramai 300 orang anggota SAR sedang giat laksanakan operasi pencarian.

“Kita doakan semoga proses menyelamat berjalan lancar dan urusan semua yang terlibat dipermudahkan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.