Semoga Usaha Menyelamat Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Diperhebat

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan dukacita beliau dengan tragedi tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, di Batang Kali pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Pontian berharap operasi menyelamat dilipatgandakan dalam usaha mencari mangsa yang masih belum ditemui.

“Semoga usaha menyelamat diperhebatkan hari ini secara bersepadu di kawasan tanah runtuh di Genting Highlands libatkan sekitar 100 rakyat.

“Dilapor 31 mangsa selamat setakat ini. Diharap keluarga terlibat bersabar dan beri maklumat kepada Polis. Diharap agensi yang berkaitan segera bertindak,” katanya menerusi ciapan di Twiter.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tanah runtuh itu pada jam 2.24 pagi.

Sehingga kini dua orang dilaporkan meninggal dunia manakala 51 lagi masih belum ditemui dalam tragedi tersebut.

Menurusi hantaran di Facebook, JBPM juga memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting Highlands telah dikejarkan ke lokasi dalam operasi menyelamat. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.