Permuafakatan Antara Gabungan: Empat Prinsip Perlembagaan Dijunjung Bersama – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 16 Dis – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menterjemahkan Permuafakatan Antara Gabungan sebagai suatu proses artikulasi terhadap hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan menjadi persetujuan bersama.

Jelasnya, pada peringkat awal gabungan tersebut wujud, terdapat kekhuatiran mengenai hal-hal kedudukan Melayu Islam serta Raja-Raja Melayu yang didaulatkan.

 

“Bagi BN, permuafakatan yang diterjemahkan dalam bentuk persefahaman dan telah ditandatangani setelah suatu proses artikulasi terhadap hal-hal termaktub di dalam perlembagaan menjadi persetujuan bersama.

“Terdapat kekhuatiran di peringkat awalnya mengenai kedudukan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu yang didaulatkan. Empat prinsip dalam perlembagaan ini menjadi persetujuan utama kepada perjanjian ini,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan yang stabil dan penjanaan ekonomi turut menjadi perkara utama dalam perjanjian ini bagi mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Keduanya, kerajaan yang stabil mesti diwujudkan kerana kita harus memberikan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat. Ketiga, soal menjana ekonomi mengikut pertumbuhan yang disasarkan kerana harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu tinggi.

“Dukungan inilah yang menjadi wadah kepada BN dan tentunya rakan-rakan lain juga yang telah menandatangani perjanjian ini. Tentunya terdapat pelbagai terjemahan terutamanya di dalam Persidangan Dewan Rakyat dan juga pengemukaan usul-usul sebagai keutamaan untuk mewujudkan kestabilan,” katanya lagi.

Lima gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menandatangani satu perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Perjanjian (MoU) yang dinamakan Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan itu menggariskan kerjasama bersama bagi menamatkan kemelut politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

MoU ini ditandatangani setiap setiausaha agung parti dalam gabungan dan disaksikan oleh setiap presiden parti masing-masing.

Mereka adalah Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S Padua. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.