Pasca PRU15, UMNO/BN Terus Fokus Bersama Rakyat Demi Kemajuan Negara – Sabrina

BANDAR BAHARU, 16 Dis – Pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan penglibatan kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang melengkapkan barisan kabinet baharu menterjemah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi masa hadapan negara.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor mengharapkan semua pihak untuk terus bekerja bagi memastikan keupayaan negara dalam pembangunan terlaksana dengan rakyat turut mendapat kesejahteraan.

“Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan setelah kita melalui kemelut politik maka kini adalah ruang untuk kita berjiwa besar bagi meneruskan kesinambungan kemajuan negara.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk kita bekerja setelah melalui pilihan raya, rakyat telah berikan mandat maka keutamaan kita adalah ke arah yang terbaik bagi rakyat keseluruhan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, biarpun BN hanya memperoleh 30 kerusi dalam PRU15 namun keupayaan kepimpinannya dalam kerajaan mampu menterjemah perjuangan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Perjuangan UMNO adalah berteraskan kepentingan rakyat dan tanggungjawab yang telah diamanahkan malah inilah legasi hasil daripada kepimpinan terdahulu agar kita melakukan khidmat bakti dan bukan atas kepentingan peribadi.

“Sekarang ini kita bekerja dan sama-sama menyokong usaha untuk kembali memulihkan keadaan ekonomi setelah mengalami pelbagai polemik dan krisis politik. Fokus kita adalah untuk rakyat dan masa hadapan negara.”

Dilaporkan, Sabtu lalu seramai 27 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang melengkapkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.