Mohd Puad Persoal Mana Pergi Duit MPN Zaman Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan beratus juta Ringgit untuk Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Jelasnya, difahamkan bahawa Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menerima peruntukan khas tersebut daripada Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Difahamkan semasa menjadi Pengerusi MPN, Muhyiddin menerima peruntukan khas beratus juta Ringgit daripada peruntukan Perdana Menteri ketika itu.

“Persoalannya, ke mana duit itu dibelanjakan? Adakah dibelanjakan untuk parti PPBM sahaja?” soalnya melalui hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut berharap agar Muhyiddin tampil memberi penjelasan dan turut menggesa Jabatan Audit Negara membuat pendedahan.

“Semoga Muhyiddin tampil memberi penjelasan. Elok juga sekiranya Jabatan Audit Negara membuat pendedahan.

“Kalau betul, patutlah kewujudan MPN tidak berkesan. Membazir duit rakyat dan jadi alat politik,” katanya lagi.

Pada September 2021, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Pelantikan berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.