UMNO/BN Sebati Politik Khidmat Bakti, Noraini Realitikan Bersama Rakyat Di Parit Sulong

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini berkesempatan bersama dengan jentera parti sebagai penghargaan kepada kerjasama mereka ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengunjungi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mampan, beliau memaklumkan segala usaha yang telah dilakukan jentera sesungguhnya memberikan makna tersendiri.

“Saya singgah di PDM Mampan untuk berjumpa dengan jentera-jentera Barisan Nasional (BN) dan Wak Miskam selaku pengerusi PDM.

“Ribuan terima kasih saya ingin ucapkan kepada semua jentera kerana bertungkus-lumus dalam membantu saya menghadapi PRU15 ini. Jasa anda semua saya akan kenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Meneruskan politik khidmat bakti, Noraini menerusi hantaran berbeza turut memaklumkan beliau telah mengarahkan kerja penyelenggaran elektrik dilakukan di beberapa buah surau di kawasan itu.

“Kerja-kerja selenggara elektrik di Surau Al-Manan bandar Parit Sulong dan gantian lampu ‘downlight’ di Surau Nurul Iman pekan Parit Sulong. Semoga dapat memberi manfaat kepada jemaah surau. Terima kasih kepada pihak yang membantu dan memberi kerjasama,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan pembaikian rumah berkeperluan untuk Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) @Parit Sulong di Kg Baru Perserai dilakukan.

“Alhamdulillah proses baik pulih berjalan dengan lancar. Rumah ini pernah mengalami kerosakan yang sangat teruk akibat dipukul ribut pada November lepas sehingga menyebabkan bumbung rumah dan sebahagian besar dindingnya tercabut.

“Terima kasih kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Ketua Kampung dan kepada semua yang telah beri kerjasama dan bantuan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.