Meremajakan UMNO, Ubah Persepsi Dan Imej Tarik Sokongan Generasi Muda – Isham

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berpandangan usaha meremajakan parti sangat penting terutama dalam mendekati golongan muda bagi mendepani pilihan raya akan datang.

Katanya, persepsi yang mengatakan bahawa parti keramat ini hanya terbuka kepada sebahagian kelompok generasi atau umur itu perlu diperbetulkan.

“Meremajakan UMNO ini sangat penting, kritikal untuk dilakukan kerana 30 hingga 40 peratus pengundi baharu adalah orang muda, setiap pilihan raya umum lebih kurang lima atau enam juta orang muda akan masuk.

“Jadi kalau kita tidak meremajakan UMNO, tidak tarik orang muda untuk minat dan masuk kepada UMNO, ini akan jadi masalah.

“UMNO ini makin lama dia punya persepsi parti orang tua itu akan menjadi masalah kepada kita, mereka rasa hendak masuk UMNO ini susah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Suara Perpaduan’ yang disiarkan secara langsung di Bernama Radio, petang tadi.

Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata terlebih dahulu imej parti perlu dipulihkan bagi memastikan strategi meremajakan UMNO itu dapat dilakukan dalam menarik sokongan anak muda.

“Ini di antara perkara yang perlu diperbetulkan juga dengan mudahkan orang muda untuk sertai UMNO tapi sebelum kita sampai ke situ kita kena pulihkan imej kita dalam kalangan golongan ini terlebih dahulu.

“Saya tidak nafi mungkin persepsi mereka kepada parti ini tidak berapa baik, ini kita perlu terima sebab itu ada lima tahun sebelum PRU16, perlu diusahakan sepenuhnya.

“Namun sebelum itu kita kena akui kelemahan, tidak boleh boleh perbaiki kekurangan kalau tak akui kelemahan,” ujar beliau.

Sejurus bersama dengan Bernama Radio, Isham yang baharu sahaja dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut sama melakukan kunjungan mesra ke beberapa unit agensi berita itu antaranya Bernama Wires, Bernama TV dan Komunikasi Digital Bernama serta diberi penerangan berkenaan peranan bagi setiap jabatan.

Kunjungan ini sebagai memperkukuh hubungan bersama Jabatan Penerangan UMNO Malaysia dan Bernama. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.