Belanjawan Melaka 2023: Kerajaan Negeri Sedia Pelbagai Inisiatif, Perkasa Golongan Belia – Khaidirah

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar menyambut baik pembentangan Belanjawan Melaka 2023 yang diusulkan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) jelas mengolah segala hasil pelaburan dan kekayaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat melalui insentif merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Jelasnya, kerajaan negeri juga tampak serius mengenai pembangunan belia dalam belanjawan yang telah dirangka apabila giat menyediakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan golongan tersebut dari pelbagai sudut.

“Saya diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Melaka 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Melaka pada Isnin.

“Kali ini, saya menekankan kepentingan pembangunan belia di dalam belanjawan yang telah dirangka. Kerajaan Negeri Melaka tampaknya mengambil serius tentang masalah pemilikan rumah oleh golongan belia apabila membuat inisiatif seperti Skim Rumah Pasangan Baharu Berkahwin dan Skim Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Kerajaan negeri juga giat menyediakan inisiatif seperti Geran Bantuan Pembangunan Koperasi dan kemudahan pembiayaan perniagaan MARA bagi membuka peluang pekerjaan kepada belia untuk mula berniaga. Selain itu, RM 210,000 juga diperuntukkan bagi memperkasa TVET yang mempunyai kadar kebolehpasaran graduan tinggi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut memberi cadangan kepada kerajaan negeri dengan memperkenalkan Dasar Belia Negeri Melaka untuk memperkasakan lagi golongan tersebut.

“Saya turut memberi cadangan untuk Kerajaan Negeri Melaka memperkasa belia dengan memperkenalkan Dasar Belia Negeri Melaka yang bakal menjadi garis panduan dalam satu tempoh sebelum dikaji semula berdasarkan keperluan dan kehendak belia.

“Segala program termasuk perangkaan belanjawan boleh dilaksanakan berdasarkan domain dan teras kepada Dasar Belia Negeri Melaka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khaidirah turut menggesa kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan belia negeri serta mewujudkan satu mekanisma bagi memartabatkan pekerja belia.

“Saya juga turut menggesa kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan belia negeri seperti yang ada di peringkat persekutuan (IYRES) bagi membantu pentadbiran kerajaan mendapatkan gambaran kehendak dan hala tuju belia.

“Perlu juga diwujudkan satu mekanisme bagi memartabatkan pekerja belia melalui pengiktirafan profesion pekerja belia. Jabatan, agensi mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh mewujudkan satu penjawatan khas bagi pekerja belia di tempat masing-masing termasuk di Japerun. Ianya pasti memberikan peluang kepada anak muda untuk mencorakkan perkhidmatan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Kerajaan negeri Melaka membentangkan Bajet 2023 berjumlah RM537.53 juta pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Bajet 2023 yang berteraskan prinsip ‘no one is left behind‘ itu dilaksanakan dengan fokus kepada tiga agenda utama iaitu mensejahtera sosio-ekonomi rakyat, memulih menuju kemampanan ekonomi dan mempercekap perkhidmatan awam. – UMNO Online