UMNO Parti Demokratik, Asalkan Penuhi Syarat, Ahli Layak Bertanding Apa Sahaja Jawatan – Isham

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan UMNO akan meminda Perlembagaan agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Meluahkan kekesalannya, beliau berkata ianya sengaja dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menggambarkan UMNO sebuah parti tidak demokratik.

“Ada berita mengatakan bahawa ada pindaan Perlembagaan UMNO supaya jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

“Ini adalah berita palsu, tidak betul… saya ingat ini dibuat oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk menunjukkan kononnya UMNO ini tidak demokratik, ini tidak betul,” katanya menerusi hantaran video di Tiktok.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menambah, ahli UMNO boleh sahaja bertanding sebarang jawatan dalam parti pada pemilihan yang akan diadakan kelak.

“Kita akan buat pemilihan UMNO dalam masa beberapa bulan lagi dan sesiapa pun ahli UMNO yang memenuhi syarat boleh bertanding apa-apa jawatan dalam parti,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.